Site icon TechNave BM

Anwar: AI di Malaysia perlu ada unsur Islamik, tidak berpandukan Barat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu diterapkan dengan nilai-nilai keilmuan turath (ilmu warisan Islam) dan tidak mengikut acuan Barat sepenuhnya.

Dalam membangunkan kemahiran dan kemajuan AI negara, beliau menekankan kepentingan untuk menerap khazanah ilmu dan legasi Islam untuk dijadikan korpus (himpunan bahan kajian) supaya perkembangan teknologi AI itu seiring dengan adab dan akhlak.

Pada waktu ini, beliau risau terhadap pembangunan AI yang memupuk nilai-nilai dan pemikiran yang datang dari negara-negara Barat. Walaupun AI itu dianggap sebagai teknologi yang neutral, nilai turath Islam perlu dimasukkan supaya AI yang digunakan di Malaysia tidak terpisah daripada sistem dan nilai akhlak Islam.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar memperkenalkan pelbagai program yang mengetengahkan pembangunan AI seperti Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) yang dilancar pada awal bulan lalu. Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan daripada segi teknologi AI dalam pelbagai aspek seperti tadbir urus kerajaan, pendidikan serta kerjasama dengan syarikat antarabangsa.

Sebuah Fakulti AI telah pun ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) lain akan turut menawarkan kursus pendidikan untuk kemahiran berdasarkan AI.

Beberapa badan kerajaan lain juga merancang untuk menggunakan teknologi AI, seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan melatih para guru untuk menggunakan teknologi AI dengan lebih berkesan sewaktu mendidik para pelajar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version