Site icon TechNave BM

Anwar: Kerajaan akan tambah 186 PEDi di seluruh negara untuk rapatkan jurang digital

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menambah 186 lokasi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu di seluruh negara pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan fasiliti tersebut kepada 1,097 lokasi.

PEDi adalah inisiatif daripada kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memberi peluang kepada komuniti setempat dan golongan B40 bagi memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang. Ia juga merupakan pusat sehenti untuk penggunaan internet jalur lebar bagi kawasan luar bandar.

Pada waktu ini, terdapat 911 PEDi di seluruh negara dan peningkatan jumlahnya itu diharap boleh menyelesaikan masalah kesenjangan digital serta pendapatan.

Menurut Anwar, transformasi digital adalah agenda penting dalam usaha menterjemah wawasan kerangka ekonomi MADANI. Beliau berkata tahap penguasaan ilmu dalam bidang baharu mesti cepat digarap supaya masyarakat tidak ketinggalan arus perubahan.

Dalam jumlah 186 PEDi itu, 38 daripadanya terletak di Pulau Pinang dan kerajaan memperuntukkan RM47 juta untuk pembinaan dan pengoperasiannya. Beliau mengumumkan inisiatif ini sewaktu memberi ucapan dalam Majlis Perasmian Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang baru-baru ini.

Perlu diingati bahawa sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan menjenamakan semula PEDi, jadi ia mungkin akan mempunyai nama yang berlainan pada masa hadapan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version