Site icon TechNave BM

Aplikasi Amazon terpaksa menukar logo kerana ia “menyerupai misai Hitler”

Aplikasi oleh syarikat e-dagang utama di Amerika Syarikat (AS), Amazon, terpaksa menukar logonya selepas ia mendapat pelbagai maklum balas berikutan logo asalnya yang menyerupai misai diktator Jerman Nazi, Adolf Hitler.

Logo asal yang diperkenalkan pada bulan Februari itu mempunyai logo “senyum” yang sudah pun sebati dengan penjenamaan Amazon serta sepotong pita pelekat berwarna biru di atasnya. Walau bagaimanapun, Amazon terus mendapat kecaman kerana rupa keseluruhan logo itu yang menyerupai mulut Hitler.

Logo baru yang diguna oleh Amazon menggantikan pita pelekat tersebut dengan pita pelekat yang dilipat sedikit untuk mengurangkan imej yang boleh dikaitkan dengan diktator Perang Dunia Ke-2 itu.

Amazon mengatakan mereka telah pun memperkenalkan logo asal dalam beberapa negara sebelum ia diubah kepada logo baru.

Adakah anda berpendapat logo asal itu nampak sama dengan misai pemimpin parti Nazi? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BBC

Exit mobile version