Site icon TechNave BM

Aplikasi Gentari Go dilancar, mudahkan pemandu EV cari stesen pengecas di Malaysia, Singapura dan Thailand

Pada hari ini, Gentari Sdn Bhd telah melancarkan aplikasi Gentari Go iaitu sebuah platform yang bukan sahaja memudahkan para pemandu kenderaan elektrik (EV) untuk mencari stesen pengecas di seluruh negara, malah menggalakkan penggunaan tenaga bersih (clean energy).

Ia membenarkan pengguna untuk mengakses stesen pengecas di Thailand dan Singapura, dengan kerjasama operator titik pengecas (CPO) seperti CDG Engie, City Energy Go dan EVolt. Apabila digabungkan dengan jumlah pengecas yang ditawarkan di Malaysia, pengguna Gentari Go boleh menggunakan lebih 2,000 stesen pengecas dalam ketiga-tiga negara.

Beberapa fungsi yang ditawarkan dalam Gentari Go

Selain itu, aplikasi ini membenarkan pengguna untuk menyewa EV dan memudahkan mereka yang masih lagi memandu kenderaan konvensional untuk cuba sendiri EV buat kali pertama. Buat masa ini, pihak Gentari masih belum menyenaraikan model EV spesifik yang boleh disewa daripada aplikasi tersebut.

Aplikasi ini juga direka khas untuk para pemandu yang baru ingin menjinakkan diri dengan EV, di mana ia mempunyai fungsi antara muka (UI) seperti garis pengecasan (charging curve) yang memaklumkan pengguna tentang penggunaan tenaga sewaktu mengecas kenderaan.

Charging Curve untuk bantu jejak pengecasn EV
Anda boleh sewa EV daripada aplikasi Gentari Go

Dengan aplikasi ini, Gentari berharap ia akan memudahkan pengguna untuk mengamalkan gaya hidup berdasarkan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dengan menyediakan penyelesaian untuk tenaga suria di rumah. Ia membenarkan gerakan tenaga daripada “bumbung ke dinding ke roda (roof to wall to wheel)” untuk penggunaan tenaga bersih dalam EV.

Pengguna Gentari Go juga boleh membeli kabel pengecas EV untuk kegunaan rumah pada harga RM2,600.

Pengecas rumah (home charger) boleh dibeli melalui Gentari Go

Untuk perniagaan seperti operator kenderaan, CPO dan syarikat permotoran, ia menyediakan perkhidmatan untuk mengurus ekosistem tenaga hijau mereka. Para pemilik premis perniagaan yang ingin menjadi CPO juga boleh menggunakan perkhidmatan CPO-in-a-Box Platform-as-a-Service (Paas) yang disediakan dalam aplikasi Gentari Go.

Gentari Go kini boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play Store. Sempena pelancarannya, anda boleh dapatkan diskaun 10% untuk 10 transaksi pengecasan dalam aplikasi.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version