Site icon TechNave BM

Aplikasi GO by Bank Islam akan tamat operasi pada November 2025, diganti dengan BIMB Mobile

Bank Islam Malaysia Berhad telah melancarkan aplikasi perbankan digital BIMB Mobile dan laman web perbankan baharu BIMB Web (https://web.bimb.com/) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pelanggannya di seluruh negara.

Walaupun dengan aplikasi baharu ini, Bank Islam mengatakan aplikasi perbankan sedia ada, GO by Bank Islam, serta laman web Perbankan Internet Bank Islam (https://www.bankislam.biz/) masih boleh diguna oleh para pelanggan. Perlu diingati bahawa aplikasi GO by Bank Islam dan laman web Perbankan Internet Bank Islam akan ditamatkan operasi sepenuhnya pada November 2025.

Mengenai aplikasi BIMB Mobile, ia menawarkan fungsi komprehensif untuk keperluan perbankan para pengguna, ciri keselamatan yang dipertingkat, rekaan moden yang intuitif serta pengalaman perbankan yang mudah.

CEO Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, berkata platform perbankan Bank Islam baharu ini direka untuk memenuhi skala penggunaan yang lebih besar dan lebih stabil.

Aplikasi BIMB Mobile boleh dimuat turun melalui platform aplikasi Apple App Store, Google Play Store atau HUAWEI AppGallery.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan aplikasi BIMB Mobile dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bank Islam Newsroom, BIMB Mobile

Exit mobile version