Site icon TechNave BM

Aplikasi Muslim Pro lancar perkhidmatan penstriman global Qalbox di Malaysia

Tersedia dalam aplikasi Muslim Pro, Qalbox merupakan perkhidmatan penstriman video daripada Bitsmedia telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Qalbox menyediakan kandungan yang luas meraikan identiti dan budaya Muslim global dalam mewujudkan platform global berfokuskan Muslim.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, Qalbox telah bekerjasama dengan pengedar kandungan tempatan seperti Astro, Pixel Play dan Nads Media untuk mempamerkan kandungan Asia Tenggara kepada penonton di Malaysia dan di seluruh dunia.

Qalbox boleh diakses melalui aplikasi Muslim Pro memberikan pengguna Muslim Pro dua tawaran dalam satu aplikasi mudah alih. Selain menikmati aplikasi Muslim Pro tanpa iklan dan akses bahan bacaan al-Quran kegemaran mereka, pengguna juga akan mempunyai akses kepada pelbagai filem, dokumentari, program kanak-kanak dan banyak lagi.

Sempena pelancarannya, pengguna Malaysia boleh mendapatkan Qalbox pada harga promosi RM4.90/bulan atau pelan langganan tahunan RM49.90/tahun untuk masa yang terhad sahaja. Qalbox tersedia untuk tontonan pada telefon pintar, aplikasi web, tablet dan SMART TV Chromecasting.

Bitsmedia terkenal kerana membangun dan menerbitkan aplikasi gaya hidup Muslim paling popular di dunia iaitu aplikasi Muslim Pro dengan lebih daripada 140 juta muat turun di seluruh dunia. Seterusnya, Bitsmedia melancarkan Qalbox iaitu perkhidmatan penstriman hiburan video yang menyediakan pelbagai kandungan berkonsepkan identiti dan budaya Islam.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version