Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaporkan bahawa aplikasi MyJPJ telah dimuat turun sebanyak 2.971 juta kali sejak ia diperkenalkan pada 10 Februari lalu.
Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, usaha mempromosikan aplikasi MyJPJ sedang berjalan lancar dan JPJ ingin orang ramai membiasakan diri mereka dengan aplikasi itu. Mereka menyasarkan pada pertengahan tahun ini agar aplikasi tersebut boleh menunjukkan lesen pemandu dan membenarkan pembaharuan lesen.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha pendigitalan ini dilakukan sepenuhnya oleh kumpulan teknologi maklumat JPJ tanpa melibatkan sebarang konsultan.
Selain itu, mereka juga akan menggunakan sistem Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (Smart Management Enforcement Device, SMED) untuk para pemandu yang tidak mempunyai akses kepada internet atau tidak memiliki telefon pintar. Dengan SMED, pemandu hanya perlu tunjukkan kad identiti mereka dan JPJ boleh mengakses lesen dan cukai jalan secara digital.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa cuti kakitangan JPJ akan dibekukan bagi melaksanakan tugas mereka sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

