Site icon TechNave BM

Aplikasi myPTPTN dilancar, peminjam boleh akses maklumat pinjaman dan pelbagai perkhidmatan

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan aplikasi mudah alihnya sendiri semalam untuk kemudahan kira-kira 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN. Aplikasi tersebut dinamakan sebagai ‘myPTPTN’ yang kini boleh di muat turun di Google Play Store dan Apple App Store.

Bercakap pada majlis pelancaran semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata beliau optimis dengan aplikasi itu yang mengintegrasikan semua kemudahan PTPTN ke dalam satu sistem. Justeru, aplikasi tersebut diharap dapat memastikan penyampaian perkhidmatan PTPTN kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Noraini seterusnya menjelaskan bahawa aplikasi myPTPTN boleh memberi peluang kepada masyarakat untuk mengakses perkhidmatan agensi itu pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, aplikasi itu membolehkan pelanggan menyemak penyata pinjaman, membayar balik pinjaman serta menyemak penyata dan deposit Simpan SSPN.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid menegaskan agensi itu mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam membangunkan aplikasi berkenaan terutama dalam mendapatkan kepakaran berkaitan teknologi dan keselamatan pengguna. Antara yang dirujuk termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Tambahan pula, pelancaran aplikasi itu juga bertepatan dengan ulang tahun ke-25 PTPTN tahun ini. Dasuki menegaskan bahawa langkah membangunkan dan mengeluarkan aplikasi itu adalah untuk memastikan agensi itu akan setanding dengan institusi kewangan lain daripada segi kemudahan digital.

Apa pendapat anda tentang aplikasi myPTPTN? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Bernama

Exit mobile version