Site icon TechNave BM

Aplikasi myPTPTN kini disepadukan dengan MyDigital ID untuk log masuk

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mengumumkan bahawa aplikasi myPTPTN telah disepadukan dengan MyDigital ID bagi menawarkan pengalaman log masuk yang lebih selamat dan mesra pengguna.

Langkah ini dilaksanakan bagi menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital dan memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan PTPTN. Bagi pengguna baharu, pendaftaran MyDigital ID perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum akaun myPTPTN boleh dibuka.

Pengguna sedia ada pula masih boleh log masuk seperti biasa, namun disarankan untuk menggunakan MyDigital ID kerana ia menawarkan kaedah log masuk yang lebih cepat, mudah dan selamat. Sekiranya berlaku kegagalan proses eKYC semasa pendaftaran myPTPTN, pengguna masih boleh mengakses aplikasi melalui MyDigital ID.

Langkah ini memastikan urusan pengguna tidak terganggu dan proses perkhidmatan dapat diteruskan seperti biasa. Bagi yang ingin mendaftar secara fizikal, pengguna boleh berbuat demikian di kiosk MyDigital ID yang disenaraikan di laman rasmi MyDigital ID.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi PTPTN di sini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PTPTN

Exit mobile version