Site icon TechNave BM

Aplikasi MySejahtera bakal ditambah ciri baharu, mudahkan pengguna semak status kesihatan

Aplikasi MySejahtera bakal ditambah ciri-ciri baharu bagi membantu memudahkan pengguna untuk memaparkan status kesihatan mereka. Untuk pengetahuan, MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak COVID-19 dengan mengesan kontak serta lokasi yang berisiko.

Melalui satu kiriman yang dibuat oleh akaun rasmi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa aplikasi MySejahtera akan dilakukan penambahbaikan bermula malam ini bagi memudahkan pengguna memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi mereka.

Sehubungan dengan itu, Khairy Jamaluddin telah mewujudkan sebuah pasukan untuk membantu menguruskan proses kemas kini ini. Beliau menambah lagi, ini akan memudahkan kehidupan rakyat di tengah-tengah penularan pandemik COVID.

Pihaknya akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya. Terdapat satu ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera iaitu butang daftar keluar yang ditambah bagi membantu memudahkan proses pengesanan kontak.

Beliau mengatakan bahawa sebaik saja meninggalkan satu tempat, anda perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang dan tiada imbasan diperlukan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version