Samsung sahkan aplikasi mesej natifnya, Samsung Messages, bakal ditamatkan sepenuhnya pada Julai 2026. Ia menandakan peralihan rasmi Samsung kepada Google Messages sebagai platform pemesejan utama pada peranti mereka. Menurut notis rasmi daripada Samsung, pengguna disarankan untuk mula beralih kepada Google Messages sebagai aplikasi SMS/RCS lalai.
Langkah ini dilihat tidak mengejutkan memandangkan kebanyakan peranti Samsung generasi terkini sudah pun hadir dengan Google Messages sebagai aplikasi pra-pasang. Pengguna boleh menyemak tarikh tepat penamatan melalui aplikasi tersebut pada peranti masing-masing. Namun, terdapat pengecualian untuk peranti lama.
Telefon pintar yang masih menjalankan Android 11 atau versi lebih lama tidak akan terkesan dengan penamatan ini dan masih boleh menggunakan Samsung Messages seperti biasa. Peralihan ke Google Messages sebenarnya telah bermula lebih awal. Model terkini seperti Samsung Galaxy S25 series, Samsung Galaxy Z Fold6 dan Samsung Galaxy Z Flip6 kini hadir dengan Google Messages sebagai aplikasi pemesejan lalai.
Malah di pasaran seperti Amerika Syarikat, Samsung telah mula menghentikan penggunaan Samsung Messages sejak pelancaran siri Samsung Galaxy S22 lagi. Langkah ini juga selari dengan usaha Google untuk memperluaskan penggunaan RCS (Rich Communication Services) sebagai standard pemesejan moden menggantikan SMS tradisional dengan integrasi lebih baik antara peranti Android.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung

