Site icon TechNave BM

Apple AirPods 3 dilancar: Miliki ciri Spatial Audio dan bateri 30jam berharga RM829

Semasa acara khas Unleashed, Apple telah melancarkan fon telinga wayarlesnya iaitu AirPods 3. Ia menampilkan reka bentuk baharu berdasarkan AirPods Pro tetapi kali ini dengan ciri kesesuaian yang menyeluruh dan sokongan Spatial Audio.

AirPods 3 kelihatan mirip seperti AirPods Pro dengan batang (stem) yang lebih pendek, reka bentuk lebih kedap bila dipakai di telinga dan sarung bateri baharu. AirPods 3 tidak mempunyai ciri seperti Pembatalan Hingar Aktif (ANC) atau Transparency Mode yang tersedia untuk AirPods Pro dan AirPods Max.

Namun, Apple menawarkan ciri Spatial Audio yang pertama untuk model AirPods. AirPods 3 mengesan pergerakan kepala pengguna untuk mewujudkan pengalaman audio sekeliling yang terbaik. Apple telah meningkatkan jangka hayat bateri hingga 6 jam dengan sekali pengecasan penuh dan 30 jam apabila menggunakan sarung bateri yang disediakan.

AirPods 3 kini secara rasmi menyokong rangkaian Find My dan pengecas MagSafe. AirPods 3 dijual pada harga $ 179 (~RM746). Namun, Apple Malaysia telah mengemaskini laman AirPods 3 dan meletakkan harga rasmi iaitu RM829.

Sekiranya membeli AirPods 3, anda boleh menikmati ciri asas Apple Music secara percuma selama enam bulan. Apple juga melancarkan pelan Apple Music Voice Plan dengan harga $ 4.99 (~RM20) sebulan. Apple Music Voice Plan menggunakan Siri untuk memainkan semula lagu dengan kawalan suara dan mempunyai ciri langkahan lagu tanpa had.

Selain itu, Apple juga melancarkan HomePod Mini yang tersedia dalam tiga warna iaitu jingga, kuning dan biru. Peranti ini berharga harga $ 99 (~RM412) dengan ketersediaan mulai November. Kami masih belum menerima maklumat rasmi daripada Apple mengenai keberadaanya untuk pasaran Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti audio ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version