Site icon TechNave BM

Apple akan anjurkan sebuah lagi acara Apple Event pada 10 November

Selepas dua Apple Event sebelum ini yang melancarkan iPad baru dan iPhone 12, kini Apple mengumumkan sebuah lagi acara Apple Event yang akan dianjurkan pada 10 November, 10:00 pagi PST (11 November, 2:00 pagi waktu Malaysia). Dalam acara ini, Apple dijangka akan mengumumkan komputer Mac pertama yang akan dilengkapi cipset Apple Silicon berdasarkan seni bina Arm.

Ini berdasarkan sebuah pengacah (teaser) realiti tambahan (augmented reality) yang menunjukkan gerakan logo Apple seperti apabila anda membuka komputer riba.

Sebelum ini, Apple telah mengumumkan bahawa syarikat itu akan menghasilkan cipset komputernya sendiri, menggantikan cipset Intel yang telah digunakan sejak 2005. Apple menjanjikan prestasi yang lebih pantas dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap dalam cipset baru ini.

Apple dijangka akan memperkenalkan cipset baru ini dalam komputer riba terlebih dahulu sebelum disertakan dalam komputer desktop. Selain itu, Apple juga mungkin akan melancarkan sistem operasi macOS 11 Big Sur yang telah diumumkan dalam WWDC sebelum ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version