Site icon TechNave BM

Apple akhirnya bakal wujudkan pilihan edit mesej untuk iMessage

Terdapat banyak aplikasi permesejan sosial di luar sana, tetapi bukan semuanya membenarkan anda untuk mengedit mesej jika ada kesilapan menaip atau typo. Berbeza dengan pengguna Apple iPhone, syarikat ini baru sahaja memfailkan paten terbaru kepada US Patent and Trademark office berkenaan perkara ini. Turut termasuk adalah fungsi pengeditan mesej dan pelancar aplikasi yang lebih baik.

Jika anda menggunakan iMessage, kami faham kekecewaan anda tidak dapat mengedit mesej yang dihantar secara salah. Berdasarkan pendedahan gambar ini, kelihatannya terdapat menu pop-up yang muncul dengan memaparkan “Show Edits” selain fungsi salin, padam dan lain-lain apabila anda menekan mesej tersebut. Selain itu, paten ini juga ada menyatakan tentang “new Application Management Interfaces” yang bermakna terdapat beberapa perubahan pada antara muka pengguna iMessage.

Sebagai tambahan, paten yang dihantar ini juga menyatakan tentang “a messaging user interface of a message application”. Sumber melaporkan paten ini disertai fungsi memaparkan mesej sulit, penyelarasan paparan kandungan di antara pengguna, menterjemahkan bahasa asing dan akhirnya, menggabungkan mesej. Perkara ini kelihatannya bakal memperbaik fungsi khas iMessage.

Setakat yang kami tahu, aplikasi permesejan sosial yang membenarkan pengeditan mesej adalah Telegram. Apa pun, mungkin kemas kini ini bakal mengambil sedikit masa, jadi anda boleh menunggu berita rasminya. Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan semak berita teknologi terkini di TechNaveBM.com.

Diterjemahkan daripada TechNave.com

Exit mobile version