Site icon TechNave BM

Apple bakal lancar Beats Studio Buds, fon telinga wayarles tanpa batang

Berita mengenai fon telinga baru Apple tidak lagi mengejutkan orang ramai. Hal ini kerana barisan fon telinga AirPods adalah antara produk yang berjaya dari Apple dan semestinya mereka ingin menghasilkan generasi baru peranti tersebut. Terbaru, Apple dikhabarkan akan melancarkan sebuah fon telinga baru bukannya AirPods yang baru tapi sebuah fon telinga jenama Beats yang bernama Beats Studio Buds.

Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana Apple sememangnya memiliki jenama Beats sejak beberapa tahun yang lalu lagi. Namun, reka bentuk Beats Studio Buds ini dilihat agak berlainan dari reka bentuk AirPods. Reka bentuk peranti ini dilihat seperti kebanyakan fon telinga yang ditawarkan pada masa kini. Ia tidak hadir dengan batang seperti yang ada pada AirPods. Ia juga hadir dengan logo beats ‘b’ pada kedua-dua belah fon telinga dan bekas pengecasnya.

Beats Studio Buds sebenarnya telah tertiris oleh pihak Apple sendiri. Beberapa gambar mengenai peranti ini telah muncul di dalam perisian iOS 14.5 dan tvOS 14.6 beta yang Apple lancarkan tidak lama yang lalu.

Sehingga kini, tiada lagi berita rasmi mengenai pelancaran peranti ini. Ia mungkin akan memasuki pasaran tidak lama lagi, mungkin selepas iOS 14.6 dimuktamadkan. Yang menarik, generasi baru AirPods Pro juga dikhabarkan akan hadir dengan reka bentuk yang serupa dengan Beats Studio Buds.

Adakah anda bakal membeli peranti ini jika ia memasuki pasaran Malaysia? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version