Site icon TechNave BM

Apple bertakhta sebagai jenama paling memuaskan pengguna, diikuti Samsung

Sumber melaporkan terdapat data indeks yang dikongsi daripada American Customer Satisfaction Index (ACSI) di Amerika Syarikat (AS). Data tersebut memaparkan indeks kepuasan pengguna terhadap telefon pintar selular dan jenama telefon pintar.

Menurut sumber, Apple bertakhta dalam senarai indeks kepuasan pengguna terhadap telefon pintar selular. Kedudukan Apple diikuti oleh Samsung (seperti yang kita semua jangkakan). Namun, jenama telefon pintar lain tidak menyusuli selain daripada LG dan Motorola. Apa pun, diingatkan bahawa data indeks ini adalah berdasarkan kepuasan pengguna AS. Kami merasakan kedudukan ini berbeza untuk pengguna Asia termasuk Malaysia yang turut popular dengan jenama Android lain.

Tambah sumber, Apple mengalami perubahan kenaikan dalam indeks tersebut memandangkan pengguna berpuas hati dengan ketahanan baterinya pada siri iPhone 11. Dalam senarai data indeks kepuasan pengguna terhadap telefon pintar berdasarkan jenama pula, Galaxy Note 9 mendahului, disusuli dengan Galaxy S9+ dan S10. Apple iPhone XS Max dan iPhone XS kemudiannya muncul selepas Galaxy S10.

Menurut kami, anda boleh melihat data indeks ini dengan sebelah mata sahaja memandangkan ia berdasarkan rakyat AS. Berkemungkinan, rakyat Malaysia lebih berpuas hati dengan telefon pintar dengan harga yang berpatutan, tetapi dengan spesifikasi yang agak berprestasi. Apa kata anda pula? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MacRumors

Exit mobile version