Samsung Electronics dan Apple dilapor sedang mempertimbangkan penggunaan cip memori keluaran ChangXin Memory Technologies (CXMT) bagi peranti pintar keluaran mereka pada masa akan datang. Langkah ini diambil sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada kumpulan pembekal yang terhad serta mengimbangi risiko rantaian bekalan global.
CXMT merupakan pengeluar cip memori utama dari China yang sedang berkembang pesat susulan peningkatan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI). Bagi Samsung, kerjasama dengan pembekal tempatan tersebut dapat memberikan akses bekalan yang lebih baik untuk telefon pintar yang dijual di pasaran China selain mengurangkan risiko pasaran memori.
Meskipun Samsung menghasilkan cip memori sendiri, kepelbagaian pembekal membolehkan syarikat bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan pasaran. Penggunaan komponen CXMT juga berpotensi memberikan ruang penyesuaian harga yang lebih berdaya saing bagi pasaran tertentu.
Walau bagaimanapun, lonjakan pembiayaan pusat data dan pelayan AI telah meningkatkan kedudukan tawar-menawar CXMT dalam pasaran DRAM. Situasi ini menyebabkan sesetengah produk memori CXMT dilapor dijual pada harga lebih tinggi berbanding penyelesaian dalaman Samsung sendiri.
Selain Samsung, Apple turut dilapor sedang berada dalam perbincangan awal bersama CXMT bagi tujuan yang sama. Buat masa ini, kedua-dua pihak iaitu Samsung dan Apple masih belum mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi berhubung rundingan atau perjanjian pembekalan tersebut. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

