Samsung sudah lama memegang gelaran pengeluar telefon pintar nombor satu dunia, tetapi ramalan baharu daripada Counterpoint Research menunjukkan kedudukan itu akan berubah tidak lama lagi. Apple dijangka merampas semula tempat teratas menjelang akhir tahun ini selepas kali terakhir berlaku pada 2011.
Pertumbuhan keseluruhan pasaran telefon pintar tahun depan hanya sekitar 3.3%, namun Apple dijangka tumbuh hampir tiga kali ganda lebih laju iaitu sekitar 10%. Ini cukup untuk memberi Apple pegangan pasaran 19.4% dan meletakkan Samsung di tempat kedua walaupun Samsung sendiri diramal mencatat pertumbuhan sihat hampir 5%.
Jika Apple naik ke tangga pertama, penganalisis percaya kedudukan itu boleh kekal sekurang-kurangnya hingga 2029. Beberapa faktor utama mendorong perubahan ini seperti siri iPhone 17 mendapat sambutan kukuh di pasaran penting seperti China, gelombang naik taraf besar-besaran berlaku apabila telefon era pandemik makin uzur dan pasaran telefon terpakai terus mengukuhkan ekosistem Apple.
Dari 2023 hingga pertengahan 2025, lebih 358 juta iPhone terpakai bertukar tangan di seluruh dunia dan kebanyakan pengguna yang masuk ke ekosistem Apple biasanya kekal di dalamnya. Di masa hadapan, Apple dijangka lebih agresif dengan pelancaran iPhone boleh lipat pada 2026, model mampu milik iPhone 17e serta perubahan rekaan besar pada 2027.
Jika semua ramalan ini tepat, tahun depan boleh menandakan berakhirnya dominasi panjang Samsung dalam pasaran global. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Counterpoint Research

