Site icon TechNave BM

Apple dikhabarkan akan guna teknologi pengecas GaN untuk iPad dan iPhone

Seperti yang sudah diketahui ramai, Apple tidak akan meletakkan bateri yang besar pada perantinya untuk mengekalkan reka bentuk yang nipis. Sebaliknya, Apple mengoptimumkan perisian dan menggunakan cipset cekap kuasa yang dapat memanjangkan hayat bateri peranti mereka.

Namun, dengan bateri yang lebih kecil berbanding pesaingnya, pengecasan pantas adalah perkara yang wajar dilakukan oleh Apple. Terbaru, Apple dikhabarkan akan menggunakan teknologi pengecas GaN (Galium Nitrida) dan telah membuat pesanan kepada syarikat Navitas Semiconductor untuk pengecas tersebut.

Apple dikatakan akan melancarkan pengecas GaN jenis USB-C tidak lama lagi. Dengan penggunaan teknologi galium nitrida ini, saiz pengecas akan menjadi lebih kecil dan lebih ringan. Ini memberi ruang kepada Apple untuk menaikkan kelajuan pengecas tanpa merisaukan akan saiz pengecas. Teknologi ini telah digunakan oleh syarikat aksesori seperti Belkin dan Anker.

Sejak iPhone 12 dilancarkan, Apple tidak lagi memberikan pengecas dalam kotak telefon dan jam pintar mereka. Walau bagaimanapun, Apple tetap menjual pelbagai pengecas dengan kelajuan berbeza dari 5W sehingga 96W USB-C.

Adakah anda teruja dengan penggunaan teknologi ini oleh Apple? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Mydrivers

Exit mobile version