Site icon TechNave BM

Apple diperintah bayar RM23.8 bilion kepada Taptic Engine kerana tiru paten

Mahkamah di Amerika Syarikat memutuskan Apple perlu membayar $5.7 bilion (~RM23.8 bilion) kepada Taction Technology kerana melanggar paten berkaitan perkakasan Taptic Engine. Perkakasan tersebut digunakan oleh Apple bagi memberikan maklum balas haptik untuk notifikasi, tekanan butang dan pelbagai interaksi lain pada peranti keluaran mereka.

Saman ini difailkan oleh Taction pada tahun 2021 dengan mendakwa Apple melanggar paten bernombor U.S. Patent No. 10,659,885 dan U.S. Patent No. 10,820,117. Kedua-dua paten tersebut memfokuskan kepada modul getaran untuk mengenakan tarikan getaran pada kulit pengguna. Taction mendakwa Apple mengeksploitasi inovasi mereka untuk pembangunan Taptic Engine.

Perkakasan Taptic Engine pertama kali digunakan pada Apple Watch pada tahun 2014 sebelum digunakan pada iPhone 6s dan iPhone 6s Plus pada tahun berikutnya bagi menggantikan motor getaran lama. Taction yang berpusat di California merupakan syarikat pembangun teknologi audio dan haptik yang sebelum ini membekalkan teknologi Transporter untuk fon kepala Corsair HS60 Haptic.

Jurucakap Apple mengatakan pihak Taction membangkang keras keputusan juri serta jumlah ganti rugi yang ditetapkan kerana disifatkan tidak disokong oleh fakta. Apple mendakwa teknologi Taptic Engine adalah berbeza secara mendasar berbanding teknologi Taction berdasarkan ujian yang dijalankan dan mengesahkan bakal memfailkan rayuan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9To5Mac

Exit mobile version