Site icon TechNave BM

Apple disaman kerana tidak membuang Telegram daripada App Store

Apple kini sedang disaman oleh pertubuhan Coalition for a Safer Web kerana gagal membuang Telegram daripada platform App Store. Pertubuhan itu berkata Telegram telah digunakan oleh golongan ekstremis di Amerika Syarikat untuk menyerbu bangunan US Capitol sebelum ini di Washington serta akan merancang lebih banyak serangan yang serupa.

Coalition for a Safer Web mendakwa Apple sebenarnya mengetahui kandungan mesej bersifat kebencian dan kecaman yang dibincangkan dalam Telegram. Pertubuhan tersebut mengatakan Apple gagal mematuhi garis panduan yang telah didirikan olehnya sendiri dan ini membenarkan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan propaganda mereka.

Saman yang difailkan oleh pertubuhan itu mendesak Apple untuk meneliti Telegram dengan lebih dekat, termasuk kemungkinan untuk membuang terus aplikasi itu daripada App Store. Mereka mengatakan terdapat golongan yang menggunakan Telegram untuk merancang serangan dalam sekitar Amerika Syarikat.

Sebelum ini, aplikasi Parler telah dibuang daripada App Store kerana ia didapati menyediakan platform kepada golongan ekstremis berhaluan kanan (far-right) untuk merancang kegiatan mereka. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple Insider

Exit mobile version