Site icon TechNave BM

Apple Event akan dianjurkan pada 14 September 2021, mungkin lancarkan iPhone 13

Pada hari ini, Apple telah mengesahkan bahawa mereka akan menganjurkan sebuah acara Apple Event pada hari Selasa, 14 September 2021 jam 10:00 pagi PDT (15 September, jam 1:00 pagi waktu Malaysia). Apple Event kali ini mempunyai cogan kata California Streaming dan ia akan dianjurkan secara digital seperti tahun lepas.

Walaupun Apple tidak mengesahkan produk yang akan dilancarkan, kita boleh mengandaikan bahawa Apple akan memperkenalkan siri telefon pintar iPhone 13. Apple biasanya mengumumkan iPhone baru pada setiap bulan September kecuali pada tahun 2020, di mana wabak COVID-19 telah menjejaskan pengilangan telefon itu dan pelancarannya terpaksa ditangguhkan ke Oktober.

Spesifikasi dan fungsi telefon itu masih belum diketahui, namun ia dikhabarkan bakal dilengkapi kadar segar semula yang lebih tinggi seperti 90Hz atau 120Hz untuk varian Pro. Kita juga boleh jangkakan cipset yang lebih pantas dan kamera yang lebih cantik.

Selain iPhone 13, Apple dijangka akan melancarkan Apple Watch baru serta tarikh pengenalan untuk sistem operasi iOS 15, iPadOS 15, watchOS 8 dan macOS Monterey.

Beritahu kami di Facebook jika anda teruja dengan Apple Event minggu hadapan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple

Exit mobile version