Site icon TechNave BM

Apple Fitness+ perkenal integrasi Strava dan kandungan baharu

Apple baru sahaja mengumumkan kemas kini menarik untuk perkhidmatan Fitness+. Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah program latihan kekuatan progresif, program khas untuk sukan pickleball serta program yoga gaya bengkel dan meditasi pernafasan.

Selain itu, siri Artist Spotlight kini menampilkan lagu-lagu daripada Janet Jackson, Coldplay, Bruno Mars dan Kendrick Lamar. Episod baharu Time to Walk pula menampilkan selebriti terkenal seperti Adam Scott, Rita Ora, Daddy Yankee dan Tiffany Haddish manakala Alex Wong mengetuai sesi eksklusif latihan tarian.

Berita besar kali ini ialah integrasi Apple Fitness+ dengan aplikasi Strava. Apabila pengguna berkongsi senaman Fitness+ ke Strava, aplikasi tersebut akan memaparkan butiran lengkap seperti imej episod, nombor episod, genre muzik, nama jurulatih dan metrik senaman.

Lebih menarik, pelanggan Strava yang baharu dan sedia ada boleh menebus Fitness+ secara percuma sehingga tiga bulan. Apple Fitness+ ditawarkan pada harga RM19.90 sebulan atau RM119.90 setahun dan boleh dikongsi dengan sehingga lima ahli keluarga. Ia juga termasuk dalam pelan Apple One Premier.

Perkhidmatan ini tersedia di 21 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis dan banyak lagi. Ciri-ciri baharu ini akan tersedia mulai 6 Januari 2025 di iPhone, iPad dan Apple TV. Pengguna Apple Watch pula akan menikmati motivasi tambahan melalui metrik masa nyata untuk menjejaki kemajuan senaman mereka.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan mencuba fungsi Strava pada Apple Fitness+ dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple

Exit mobile version