Apple dikatakan semakin hampir memeterai perjanjian baharu dengan Intel untuk menggunakan cip Intel pada Mac seperti dahulu. Namun berbeza kali ini, Apple mengupah Intel untuk menjadi pengeluar cip bagi sesetengah produk Apple termasuk iPhone.
Menurut sumber, Apple dijangka menandatangani perjanjian dengan Intel bagi menghasilkan sebahagian cip siri A untuk model iPhone bukan Pro bermula pada tahun 2028. Intel hanya akan mengambil sebahagian kecil pengeluaran pada fasa awal manakala TSMC dijangka kekal sebagai pembekal utama.
Langkah ini dilihat sebagai strategi Apple untuk mengurangkan kebergantungan kepada TSMC khususnya dalam keadaan industri semikonduktor yang semakin mencabar dan sensitif terhadap geopolitik. Apple masih akan mereka bentuk semua cipnya seperti biasa tetapi pembuatan akan dikongsi antara beberapa pengeluar.
Sebelum ini, penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo turut melaporkan bahawa Intel berkemungkinan mula menghasilkan cip siri M paling asas untuk Mac dan iPad seawal pertengahan 2027 yang akan menggunakan proses 18A. Teknologi ini digambarkan sebagai antara nod pembuatan sub-2nm terpantas yang tersedia di Amerika Utara.
Jika perjanjian ini dimeterai, ia menandakan “kepulangan” kerjasama Apple–Intel dalam bentuk baharu. Namun berbeza dengan era Mac berasaskan Intel, Apple kini hanya memerlukan Intel untuk kepakaran pembuatan cip dan bukan reka bentuk. Buat masa ini, semua maklumat masih dalam bentuk laporan penganalisis dan belum disahkan secara rasmi oleh Apple atau Intel.
Namun, trend industri menunjukkan Apple semakin agresif dalam memperluas rantaian pembekal cip bagi mengurangkan risiko masa depan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors

