Apple dilaporkan sedang dalam perbincangan serius untuk mempelbagai rantaian bekalan cip dengan melantik Intel Foundry sebagai pengilang tambahan bagi peranti iPhone masa hadapan. Laporan terbaharu mendedahkan bahawa Apple merancang untuk menggunakan proses pembuatan Intel 14A bagi menghasilkan cip siri-A seperti A21 atau A22 seawal tahun 2028.
Langkah ini menandakan satu anjakan besar dalam strategi perkakasan Apple kerana ia bakal menyaksikan penyatuan semula dua syarikat yang pernah menamatkan kerjasama pada tahun 2020. Kerjasama ini tidak bermakna Apple akan kembali menggunakan cip Intel seperti yang terdapat pada model MacBook lama, sebaliknya Apple akan tetap mengekalkan cip Apple Silicon mereka sendiri manakala Intel hanya bertindak sebagai faundri atau kilang pembuat sahaja.
Keputusan ini dilihat sebagai strategi drastik untuk mengurangkan kebergantungan eksklusif kepada TSMC yang berpangkalan di Taiwan terutamanya bagi meminimumkan risiko rantaian bekalan sekiranya berlaku gangguan geopolitik di rantau Asia Timur. Tambahan, faktor kesesakan kapasiti di TSMC akibat permintaan cip AI yang melonjak mendorong Apple mencari alternatif pengilang yang lebih fleksibel.
Teknologi Intel 14A yang menggunakan mesin litografi High-NA EUV tercanggih dijangka mampu memberikan persaingan sengit kepada teknologi 1.4nm milik TSMC daripada segi kecekapan penggunaan tenaga dan prestasi pemprosesan.
Apple mungkin akan memulakan ujian awal melalui produk iPad atau MacBook mampu milik menggunakan proses Intel 18A seawal pertengahan tahun 2027 bagi memastikan kualiti pengeluaran mencapai piawaian yang ditetapkan sebelum beralih ke peranti utama mereka.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Macrumors

