Site icon TechNave BM

Apple kenal pasti punca iPhone 15 jadi terlalu panas, akan sediakan kemas kini untuk baiki

Apple telah mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan siri telefon pintar iPhone 15 mengalami kepanasan melampau sewaktu penggunaanya. Isu ini termasuklah sebuah pepijat (bug) yang terdapat dalam perisian iOS 17 dan Apple berkata mereka akan menyelesaikan pepijat tersebut dalam sebuah kemas kini yang akan datang.

Apple memberi jaminan bahawa kemas kini tersebut tidak akan merendahkan prestasi iPhone 15.

Satu lagi isu melibatkan beberapa kemas kini terhadap aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan sistem dalam telefon itu untuk mengalami terlebih muatan (overload). Bagi menyelesaikan masalah ini, Apple akan bekerjasama dengan para pembangun aplikasi untuk memberikan pembaikian kepada pengguna.

Aplikasi pihak ketiga ini termasuklah media sosial Instagram, game Asphalt 9 dan perkhidmatan seru pandu Uber. Instagram telah menyelesaikan isu ini dalam sebuah kemas kini yang ditawarkan pada 27 September lalu.

Berikutan maklum balas daripada sejumlah pengguna tentang iPhone 15 yang jadi panas sewaktu menggunakannya, Apple berkata telefon itu akan terasa panas sewaktu penggunaan hari-hari pertama selepas ia diaktifkan dan memulih semula (restore) kerana aktiviti latar belakang yang tinggi.

Untuk iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max pula, Apple mengatakan rangka titanium baharu pada telefon itu meningkatkan lagi pelesapan haba daripada komponen dalaman kepada bahagian luar, lantas meningkatkan suhu luaran yang boleh dirasa pada rangka titanium.

Syarikat teknologi itu memberi jaminan bahawa isu kepanasan ini tidak akan membahayakan pengguna dan tidak menjejaskan prestasi telefon dalam jangka masa panjang.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version