Apple telah mengumumkan Promosi Kembali ke Sekolah 2025 bagi pasaran Malaysia yang disasarkan untuk pelajar baharu, ibu bapa serta para pendidik yang bakal memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sepanjang tempoh promosi, pelanggan yang membeli model Mac atau iPad yang layak bukan sahaja akan menikmati harga pendidikan khas, malah turut menerima hadiah percuma seperti sepasang AirPods atau aksesori terpilih lain termasuk Apple Pencil Pro yang terbaharu.
Promosi ini boleh disertai melalui Gedung Pendidikan Dalam Talian Apple Malaysia atau dengan mengunjungi kedai fizikal Apple terpilih di seluruh negara. Antara peranti utama yang ditawarkan termasuk MacBook Air baharu yang dikuasakan cip M4. Komputer riba ini hadir dalam saiz 13 dan 15 inci serta empat pilihan warna seperti biru, perak, putih dan hitam.
Dengan rekaan nipis kurang setengah inci dan berat yang ringan, ia sesuai untuk pelajar yang mementingkan mobiliti. MacBook Air ini menawarkan hayat bateri sehingga 18 jam, dilengkapi kamera 12MP yang dinaik taraf dan boleh menyambung ke dua paparan 6K serentak. Ia juga menyokong ciri pencerminan iPhone yang diperkenalkan dalam macOS Sequoia.
Selain itu, iPad Air generasi baharu turut tersenarai dalam promosi ini. Dengan cip M3 yang berkuasa, ia hadir dalam dua saiz iaitu 11 inci dan 13 inci. Ia menyokong penggunaan Apple Pencil Pro, Apple Pencil versi USB-C, Magic Keyboard yang direka semula. Terdapat juga sokongan untuk rangkaian 5G dan dilengkapi pelbagai ciri pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Bagi pelajar dan pendidik yang ingin mengetahui lebih lanjut, Apple menyediakan halaman pendidikan khas di laman rasmi mereka yang memaparkan panduan, tip pembelajaran serta cadangan aplikasi dan aksesori yang sesuai. Promosi ini akan ditawarkan untuk tempoh terhad. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

