Site icon TechNave BM

Apple lancarkan pembesar suara HomePod mini dan “casing” MagSafe untuk iPhone 12, bermula RM219

Selain melancarkan siri telefon pintar iPhone 12 dalam acara Apple Event, Apple turut melancarkan dua produk baharu iaitu pembesar suara HomePod mini dan sarung (casing) MagSafe untuk iPhone 12. HomePod mini merupakan pembesar suara yang lebih kecil kepada HomePod dan menampilkan pelbagai fungsi yang serupa.

HomePod mini dilengkapi cipset Apple S5 untuk memberikan kualiti audio terbaik dengan melaras kekuatan bunyi, dynamic range dan pegerakan pemacu (driver) serta passive radiators. Pembesar suara yang mempunyai ketinggian 3.3 inci ini juga boleh dimainkan secara stereo jika digabungkan dengan sebuah lagi HomePod mini dan boleh diakses menggunakan suara melalui Siri.

Apple turut memperkenalkan fungsi Intercom yang membolehkan pengguna untuk berkongsi mesej audio di antara HomePod mini yang berasingan dalam rumah. Mesej Intercom juga boleh terpapar pada iPad, iPhone dan Apple Watch. Ia akan mula dijual pada 16 November dengan harga USD99 (~RM410).

Sementara itu, Apple turut memperkenalkan aksesori khas untuk iPhone 12 iaitu MagSafe. Ia adalah sebuah magnet di dalam sarung itu yang akan memudahkan pengguna untuk menghubungkan telefon itu dengan pengecas wayarles.

Selain itu terdapat juga sarung yang boleh dijadikan sebagai dompet untuk menyimpan kad atau wang. Sarung MagSafe akan dijual pada harga bermula RM219 dan pengecas wayarles MagSafe pula berharga RM179.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaan HomePod mini di Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version