Semasa World Wide Developers Conference (WWDC) 2022, Apple memperkenalkan MacBook Air yang dikuasakan oleh cip M2 yang juga baru diumumkan. Ia membawa reka bentuk baharu, pengecasan Magsafe dan hayat bateri yang tahan lama. Varian MacBook Pro 13 inci turut menggunakan cip M2.
MacBook Air baharu hadir dengan reka bentuk yang rata dengan ketebalan 11mm dan seberat 1.22kg. Komputer riba kekal tanpa kipas dan dilengkapi dengan paparan Liquid Retina 13.6 inci dengan kecerahan 500 nits dan 1 bilion warna. Bahagian kamera web pula telah dikemas kini kepada 1080p.
MacBook Air mendapat Magic Keyboard dengan baris kekunci fungsi yang lebih besar, dua port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Hayat bateri boleh bertahan selama 18 jam dengan main semula video tanpa henti. Ia mempunyai sistem empat pembesar suara di dalam bingkai.
Terdapat pilihan warna kelabu, perak, biru dan emas. Kabel pengecasan MagSafe disediakan dan peranti juga menyokong pengecasan pantas melalui USB-C 67W.
Peranti akan mula berada dalam pasaran dalam bulan Julai dengan harga RM6,699 dan boleh dikembangkan dengan storan SSD sehingga 2TB dan memori sehingga 24GB.
Sementara itu, MacBook Pro 13 inci kekal dengan paparan bezel tebal dan papan kekunci Touch Bar. MacBook Pro 13 inci dengan cip M2 bermula pada harga RM5,699. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.

