Site icon TechNave BM

Apple MacBook Pro 13-inci diumumkan di Malaysia: SSD sehingga 4TB, harga bermula RM5,599

Apple yang bergiat aktif dalam arena teknologi sejak baru-baru ini bermula dengan pelancaran iPhone SE, kini mengumumkan MacBook Pro 13-inci dengan beberapa spesifikasi terbaru yang menonjol. Spesifikasi yang dikatakan bakal menggandakan prestasi MacBook Pro 13-inci melalui storan dan prestasi yang lebih tinggi.

MacBook Pro 13-inci terbaru ini hadir dengan reka bentuk aluminium yang kemas dalam pilihan warna kelabu atau space grey. Ia dilengkapi paparan Retina 13-inci bersama pembesar suara stereo-lebar, Touch ID, Touch Bar dan dioperasikan MacOS Catalina terkini.

Komputer riba mudah alih ini tampil dengan pilihan penambahan storan yang lebih besar. Jika versi terdahulu hanya hadir dengan penambahan SSD sehingga 2TB, versi terkini hadir dengan kapasiti penambahan SSD sehingga 4TB. Bukan itu sahaja, ia dijana pemproses Intel Core generasi ke-10 dengan kelajuan Turbo Boost sehingga 4.1GHz.

Dari segi grafik pula, MacBook Pro 13-inci terbaru dioperasikan Intel Iris Plus Graphics yang memberi 80% lebih prestasi berbanding generasi MacBook Pro yang sebelumnya! Pengguna juga boleh menerima sambungan Pro Display XDR pada resolusi penuh 6K. Dari segi RAM pula, MacBook Pro 13-inci terbaru menawarkan memori standard bermula dengan 16GB. Namun, anda juga boleh memilih pilihan 32GB.

Apple turut mengumumkan harga MacBook Pro 13-inci di pasaran Malaysia bermula dengan harga RM5,559 hingga RM8,799. Untuk pelanggan berkategori pendidikan, anda boleh mendapatkannya bermula dengan harga RM5,169. Anda boleh klik pautan ini untuk maklumat lanjut mengenai kategori pendidikan. Walaupun harganya sudah diumumkan, tetapi anda perlu menyemak dari masa ke masa mengenai tempoh pembukaan pra-tempah atau tempahan di laman web rasmi Apple MY.

Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version