Site icon TechNave BM

Apple MacBook Ultra akan tiba dengan cip M6, sokong skrin sentuh OLED dan 5G

Barisan komputer riba Apple MacBook yang selama ini terbahagi antara Air dan Pro dijangka menerima perubahan besar apabila Apple dilaporkan sedang membangunkan model baharu dikenali sebagai MacBook Ultra. Menurut sumber, ia akan diletakkan dalam siri MacBook Pro dengan sasaran pelancaran sekitar awal 2027.

Antara perubahan terbesar ialah penggunaan panel OLED yang menjadikannya MacBook pertama beralih daripada teknologi Mini LED (model Pro semasa). Peralihan dijangka membawa peningkatan ketara daripada segi kontras, warna hitam lebih pekat dan kualiti visual keseluruhan serta peranti menjadi lebih nipis.

Rekaan hadapan juga berkemungkinan berubah apabila takuk yang diperkenalkan sejak 2021 dilaporkan akan digantikan dengan lubang kamera jenis lubang tebuk yang lebih kecil. Dalam masa sama, Apple turut dikatakan sedang mempertimbangkan sokongan skrin sentuh pada MacBook Ultra, sesuatu yang sebelum ini ditolak oleh mereka atas faktor praktikaliti.

Jika direalisasikan, ia menandakan perubahan pendekatan yang ketara terhadap interaksi pengguna pada komputer riba Mac. MacBook Ultra dijangka menggunakan cip generasi baharu seperti Apple M6 Pro dan Apple M6 Max yang dibina menggunakan proses 2nm. Selain itu, Apple dilaporkan sedang menguji sokongan sambungan selular terbina melalui modem sendiri yang berpotensi membawa sokongan 5G dan LTE ke MacBook buat pertama kali.

Setakat ini, pembangunan masih di peringkat awal dan spesifikasi akhir boleh berubah, namun jika direalisasikan, MacBook Ultra berpotensi menjadi antara evolusi paling signifikan dalam barisan MacBook dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MacRumors

Exit mobile version