Site icon TechNave BM

Apple Magic Keyboard untuk iPad Pro bakal hadir minggu hadapan di Malaysia berharga RM1,349

Apple kini mengambil alih pasaran teknologi dengan mengeluarkan beberapa produk baru termasuklah iPhone SE, aksesori Mac Pro dan terdahulu, iPad Pro. Bersama pelancaran iPad Pro, Apple telah mengumumkan Magic Keyboard, tetapi belum melancarkan jualannya. Terkini, pasaran teknologi Malaysia bakal menerima kehadiran Magic Keyboard pada minggu hadapan dengan harga RM1,349.

Untuk pengetahuan anda, Magic Keyboard untuk iPad Pro hadir dengan dua varian. Varian pertama adalah Magic Keyboard untuk iPad Pro 11-inci (Generasi Ke-2) berharga RM1,349, manakala Magic Keyboard untuk iPad Pro 12.9-inci (Generasi Ke-4) berharga RM1,549. Anda perlu tahu juga bahawa papan kekunci mudah alih iPad Pro ini mempunyai cahaya di belakangnya! Anda boleh menempahnya secara dalam talian bermula minggu hadapan.

Mengimbas kembali mengenai iPad Pro, ia dilengkapi dengan cip A12Z Bionic, kamera ultra-lebar dan pengimbas LiDAR Scanner (Light Detection And Ranging). iPad Pro dijual dengan harga RM3,499 secara dalam talian. Anda juga boleh mendapatkan stilus Apple Pencil generasi kedua yang berharga RM549. Kelengkapan iPad Pro kini telah lengkap dengan aksesori stilus dan papan kekuncinya!

Adakah anda bakal menyambarnya? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version