Site icon TechNave BM

Apple menandatangani perjanjian dengan Qualcomm untuk modem cipset 5G selama 4 tahun

Qualcomm mungkin sedang bergelak ketawa sekarang memandangkan Apple tidak dapat mengelak dari menggunakan modem cipset 5G Qualcomm untuk beberapa tahun lagi. Terkini, satu dokumen awam telah ditemui memaparkan kolaborasi di mana Qualcomm akan membekalkan cipsetnya kepada Apple.

Sumber daripada Winfuture telah menemui dokumen yang diterbitkan oleh US International Trade Commission (USITC). Hal ini mengesahkan bahawa cipset Qualcomm Snapdragon X55, X60, X65 dan X70 bakal dibekalkan kepada Apple dalam lebih kurang 4 tahun. Tiga daripada cipset tersebut masih belum dilancarkan dan kemungkinan nama yang tertera adalah nama samaran sahaja. Modem cipset Snapdragon X55 telah tersedia dan selalunya dipasang bersama cipset Snapdragon 865.

Hal ini bermakna Apple bakal mengeluarkan peranti 5G pada tahun 2020 yang dikuasai Qualcomm. Malahan, dokumen ini menyatakan bahawa Apple ingin melancarkan model baharu yang menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon X66 di antara 1 Jun 2020 dan 31 Mei 2021. Berdasarkan garis masa ini, berkemungkinan ianya adalah iPhone 12 atau peranti lain yang mempunyai varian 5G.

Apple turut membeli modem 5G Intel pada tahun lepas dan dilaporkan sedang membina antena 5Gnya sendiri. Namun, secepat manakah kita dapat melihat produk Apple yang menggunakan bahagian 5G sendiri dan peranti manakah itu? Beritahu pandangan anda di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave.com

Exit mobile version