Site icon TechNave BM

Apple mula cari pekerja untuk Apple Store pertama di Malaysia

Buat masa ini, Apple masih tidak menawarkan gedung Apple Store rasmi di Malaysia dan produk-produknya masih dijual melalui para pengedar sah sahaja. Kini Apple dilihat mula mencari tenaga kerja tempatan, mungkin bagi menjadi kakitangan untuk kedai Apple Store pertama di sini.

Apple telah menyenaraikan beberapa jawatan kosong di laman web Jobs at Apple yang melibatkan skop kedai Apple Retail Store di Malaysia. Jawatan-jawatan ini termasuklah pengurus, pengurus kanan, ketua kedai, pakar perniagaan dan ahli-ahli Genius Bar.

Apple tidak menyatakan lokasi Apple Store yang akan datang ini secara spesifik, namun besar kemungkinan ia akan berada di Kuala Lumpur.

Buat mereka yang tidak tahu, Apple Store adalah kedai-kedai rasmi yang dibina oleh Apple dan selain menjual pelbagai jenis perantinya, kedai-kedai ini turut mempunyai rekaan dalaman ikonik yang membuatkannya nampak seperti sebuah tarikan pelancong. Dalam rantau Asia Tenggara, Apple Store hanya dibina dalam dua negara sahaja iaitu tiga di Singapura dan dua di Thailand.

Adakah anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan Apple Store? Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version