Apple dilaporkan sedang menguji cip memori daripada syarikat pengeluar China, ChangXin Memory Technologies (CXMT) untuk barisan produk utamanya merangkumi iPhone dan MacBook. Langkah ini diambil bagi mengurangkan kesan gangguan serta kekurangan bekalan komponen memori yang disebabkan pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) global.
Menurut sumber, Apple telah mengadakan perbincangan awal bersama CXMT untuk membekalkan komponen tersebut. Penawaran berkenaan dikhususkan untuk kegunaan peranti yang bakal dijual di pasaran China sahaja. Permintaan tinggi terhadap cip memori seperti DRAM untuk pemprosesan AI telah menyebabkan tekanan harga serta pengetatan bekalan di peringkat global.
Situasi ini mendorong pengeluar peranti menguji saluran bekalan baharu selain pembekal utama sedia ada seperti Samsung Electronics dan SK Hynix. Disebabkan sekatan kawalan eksport AS yang melarang syarikat Amerika berkongsi maklumat teknikal dan spesifikasi, Apple dijangka menggunakan cip sedia ada yang dikeluarkan oleh CXMT tanpa penyesuaian khas.
Syarikat pengeluar komputer lain seperti HP dan Acer dilaporkan telah mula menggunakan cip memori CXMT untuk produk yang dipasarkan di luar Amerika Syarikat. Sehingga kini, Apple dan CXMT belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung ujian tersebut. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

