Site icon TechNave BM

Apple mungkin akan berhenti jual pengecas USB Power Adapter 5W

Kebanyakan telefon pada waktu ini mempunyai kadar pengecasan yang sangat pantas, daripada 20W hinggalah 150W yang boleh mengecas penuh bateri dalam masa beberapa minit sahaja. Sungguh pun begitu, Apple masih lagi menjual pengecas USB 5W yang diperkenalkan sejak iPhone pertama.

Kini terdapat laporan mengatakan Apple akhirnya mungkin akan berhenti menjual pengecas 5W yang sudah ketinggalan itu. Menurut sumber, pengecas 5W USB Power Adapter sudah pun kehabisan stok di pelbagai lokasi Apple Store seluruh dunia.

Ini termasuklah di Australia, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, New Zealand, China dan Jepun. Sungguh pun demikian, ia masih dijual di beberapa negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, Brazil dan United Kingdom. Ini mungkin kerana masih terdapat stok lama untuk dijual.

Pengecas 5W ini diberikan dalam setiap edisi iPhone sehingga iPhone 11, sebelum pengecas itu tidak lagi ditawarkan dalam kotak iPhone bermula iPhone 12 pada 2020. Pada tahun yang sama, Apple juga memperkenalkan pengecas 20W yang boleh dibeli secara berasingan.

Buat masa ini, pengecas 5W USB Power Adapter masih disenaraikan di laman web Apple Malaysia dan dijual pada harga yang sangat mahal iaitu RM79. Lebih baik jika anda beli terus pengecas 20W USB-C Power Adapter yang berharga RM99.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MacRumours

Exit mobile version