Site icon TechNave BM

Apple mungkin kurangkan pengilangan iPhone SE kerana permintaan rendah

iPhone SE (2022) telah dilancar baru-baru ini dan ia menawarkan spesifikasi yang sangat menarik untuk mereka yang ingin memiliki sebuah iPhone pada harga bajet. Walau bagaimanapun, permintaan pelanggan terhadap iPhone SE mungkin lebih rendah daripada yang dijangkakan oleh Apple.

Menurut media ekonomi Nikkei Asia, Apple memutuskan untuk mengurangkan pengilangan telefon bajet itu sebanyak 20% pada suku tahunan akan datang. Selain permintaan yang rendah, masalah inflasi dan perang yang masih berterusan di Ukraine juga telah menjejaskan penghasilan iPhone SE.

Penganalisis industri teknologi, Ming-Chi Kuo, berpendapat bahawa pengilangan iPhone SE akan dikurangkan daripada 25-30 juta unit kepada 15-20 juta unit berikutan permintaannya yang semakin merudum, dan ini mungkin menyebabkan iPhone SE (2022) untuk dijual lebih sedikit berbanding iPhone SE (2020).

Walaupun iPhone SE (2022) adalah sebuah telefon bajet, ia masih dilengkapi cipset A15 Bionic iaitu sebuah cipset berprestasi tinggi yang turut dilengkapi dalam siri iPhone 13. Sungguh pun begitu, rekaannya yang menyerupai iPhone 8 mungkin telah mengurangkan daya tarikan telefon bajet ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki iPhone SE dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9to5 Mac

Exit mobile version