Site icon TechNave BM

Apple mungkin sedang bangunkan iPhone dengan port USB-C

Apple dilaporkan sedang menguji telefon pintar iPhone yang bakal dilengkapi port USB-C bagi menggantikan port Lightning. Menurut wartawan Bloomberg Mark Gurman, iPhone dengan port tersebut akan dilancar seawal 2023, manakala iPhone untuk tahun ini masih mengekalkan port Lightning.

Ini adalah maklumat terbaru mengenai iPhone yang dilengkapi port USB-C, selepas penganalisa industri teknologi Ming-Chi Kuo mengatakan Apple bakal melancarkan iPhone dengan USB-C pada separuh kedua 2023.

Setakat ini, beberapa peranti mudah-alih Apple seperti iPad Pro, iPad Air dan iPad Mini telah pun menggantikan port Lightning kepada USB-C. Selain itu, Apple juga menghadapi tekanan daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk melengkapkan port USB-C dalam iPhone supaya ia boleh diseragamkan dengan pelbagai jenis peranti elektronik.

Gurman mengatakan desakan daripada EU ini adalah punca utama mengapa Apple memperkenalkan USB-C dalam iPhone akan datang.

Apple juga dikhabarkan sedang membangunkan iPhone yang tidak mempunyai sebarang port. Telefon ini bakal menggunakan teknologi pengecasan wayarles MagSafe yang diperkenalkan dalam siri iPhone 12 pada 2020, namun masih tidak diketahui bilakah telefon ini akan dilancarkan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bloomberg

Exit mobile version