Site icon TechNave BM

Apple naikkan harga iPhone di Malaysia sehingga RM1,300

Apple secara senyap telah mengemaskini senarai harga rasmi bagi beberapa model telefon pintar sedia ada di Malaysia. Pelarasan ini melibatkan model siri iPhone 17, iPhone 17e dan iPhone Air. Bagi siri iPhone 17e, varian 256GB kini dijual pada harga RM3,299 berbanding RM2,999 sebelum ini manakala varian 512GB kini berharga RM4,299.

Bagi iPhone 17 standard, harga jualan baharu ditetapkan pada RM4,299 untuk varian 256GB dan RM5,299 untuk varian 512GB yang menyaksikan peningkatan sebanyak RM300 untuk setiap model. Model iPhone Air turut mengalami kenaikan harga. Varian 256GB dan 512GB masing-masing naik RM300 menjadikannya RM5,299 dan RM6,299.

Peningkatan harga paling tinggi melibatkan iPhone Air varian 1TB yang melonjak sebanyak RM1,300 daripada harga asal RM6,999 kepada RM8,299. Pelarasan harga dipercayai berpunca daripada peningkatan kos komponen terutamanya kos memori dan storan global yang terkesan akibat permintaan tinggi dari pusat data AI.

Langkah ini menyusul selepas tindakan Apple melaraskan harga bagi beberapa penawaran Mac dan iPad di pasaran tempatan. Kenaikan harga berkuat kuasa serta-merta di laman web rasmi Apple Malaysia. Walau bagaimanapun, harga permulaan bagi siri iPhone 18 Pro yang baru dilancarkan dilaporkan kekal tidak berubah dari harga pelancaran model generasi terdahulu.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version