Site icon TechNave BM

Apple naikkan harga storan iCloud di UK dan beberapa negara lain

Apple telah menaikkan harga storan iCloud di United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain. Harga bulanan storan iCloud telah meningkat kira-kira 25% untuk pelanggan Apple.

iCloud+ menawarkan beberapa ciri lain seperti akses Private Relay dan HomeKit Secure Video tetapi kebanyakannya adalah untuk anda mendapatkan ruang storan yang lebih besar untuk menyimpan foto, dokumen dan banyak lagi.

Apple memberikan setiap Apple ID storan awan kecil sebanyak 5 GB secara percuma sejak 2011. Sekiranya anda ingin menambah ruang storan, pelan iCloud+ berbayar memberikan tiga pilihan iaitu 50GB, 200GB dan 2TB.

Sebelum minggu ini, di UK, Apple mengenakan bayaran £0.79 (~RM4)/bulan untuk 50GB, £2.49 (~RM14)/bulan untuk 200GB dan £6.99 (~RM41)/bulan masing-masing untuk 2TB. Harga tersebut kini telah meningkat kepada £0.99 (~RM6)/bulan, £2.99 (~RM18)/bulan dan £8.99 (~RM53)/bulan, peningkatan purata sekitar ~25%. Ini turut diikuti di Poland, Romania, Arab Saudi, Afrika Selatan, Sweden, Tanzania, Turki dan United Arab Emirates (UAE).

Storan iCloud juga merupakan sebahagian perkhidmatan Apple One. Buat masa ini, harga Apple One masih belum diubah dan mungkit akan dinaikkan pada masa akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9to5mac

Exit mobile version