Apple secara rasmi melancarkan AirPods 5 untuk pasaran Malaysia. Fon telinga jenis terbuka ini hadir dalam dua varian iaitu model standard dan model berserta bekas pengecas wayarles. Peranti membawakan teknologi Pembatalan Hingar Aktif (ANC) jenis buka telinga yang didakwa mampu menapis sehingga 50 peratus lebih banyak hingar luaran berbanding generasi terdahulu.
Daripada segi kejuruteraan bunyi, AirPods 5 menggunakan senibina akustik multiport baharu dan sistem EQ Adaptif generasi seterusnya. Gabungan ini direka bagi menyampaikan mutu bunyi yang lebih mendalam serta menyokong ciri Audio Spasial Terperinci.
Apple turut menaik taraf mod Ketelusan bagi menghasilkan bunyi persekitaran dan suara yang lebih semula jadi, selain menyertakan fungsi Audio Adaptif dan Kesedaran Perbualan. AirPods 5 juga menyokong kawalan bebas tangan menerusi gerak geri kepala untuk berinteraksi dengan Siri seperti mengangguk untuk “ya” atau menggeleng untuk “tidak”.
Bagi model berserta Bekas Pengecasan Wayarles, Apple menambah sensor daya dengan kawalan leret pada pemegang bagi melaraskan kelantangan bunyi secara terus dari fon putik. Bateri pada peranti ini menawarkan masa pendengaran sehingga 5 jam dengan fungsi ANC aktif pada satu cas dan meningkat sehingga 22 jam apabila digunakan bersama bekas pengecas.
Keseluruhan strukturnya menyokong penarafan IP57 bagi ketahanan terhadap debu, peluh dan air. Di Malaysia, AirPods 5 dijual pada harga RM599 bagi model standard manakala versi dengan bekas pengecas wayarles ditawarkan pada harga RM699. Tempahan dibuka bermula 11 September manakala jualan rasmi di kedai bermula 18 September.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

