Site icon TechNave BM

Apple perkenal Hikawa Phone Grip, aksesori MagSafe istimewa untuk pengguna OKU

Apple kini memperkenalkan Hikawa Phone Grip & Stand iaitu aksesori MagSafe edisi terhad yang direka khusus bagi membantu pengguna Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami kekangan pada kekuatan otot dan kawalan genggaman.

Aksesori ini dibangunkan oleh pereka Bailey Hikawa melalui proses temubual mendalam untuk memahami cara penggunaan iPhone yang lebih stabil dengan usaha minimum. Menariknya, ia dilancarkan bersempena ulang tahun ke-40 inisiatif aksesibiliti Apple.

Hikawa Phone Grip & Stand menggunakan sambungan MagSafe untuk melekap pada mana-mana iPhone yang menyokongnya dan boleh ditanggalkan dengan mudah. Ia turut berfungsi sebagai kaki dengan dua sudut tontonan berbeza dalam orientasi menegak atau mendatar. Rekaannya diinspirasikan daripada elemen seni arca moden.

Aksesori ini hadir dalam dua pilihan warna seperti Chartreuse dan Crater dengan varian Crater menggunakan bahan kitar semula. Harga rasmi Hikawa Phone Grip & Stand ialah $69.95 (~RM290) dan nantikan pengumuman daripada Apple Malaysia tentang ketersediannya.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version