Apple dilaporkan bakal memperlihatkan peranti boleh lipat pertamanya iaitu iPhone Ultra pada acara pelancaran 8 September ini. Walau bagaimanapun, peranti tersebut didakwa tidak akan dijual serentak bersama siri iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max.
Menurut sumber, penjualan iPhone Ultra hanya akan dipasarkan di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum memasuki beberapa pasaran utama lain seperti China. Pasaran seperti Australia disahkan tidak termasuk dalam fasa awal pelancaran ini. Apple juga dilaporkan tidak akan mengumumkan tanda harga rasmi peranti berkenaan pada majlis pelancaran 8 September nanti.
Harga iPhone Ultra dijangka lebih mahal berbanding model Pro Max dan peranti boleh lipat pesaing. Kelewatan pelancaran dan ketersediaan pasaran ini berpunca daripada masalah pengeluaran yang dihadapi oleh pembekal Apple. Pembekal dilaporkan mengalami kesukaran semasa ujian pengesahan pengeluaran terutamanya pada bahagian engsel dan paparan boleh lipat.
Jadual pengeluaran secara besar-besaran yang sepatutnya bermula pada Jun telah dianjak ke Ogos sebelum ditangguhkan lagi. Pihak Foxconn masih membuat penyesuaian pada jadual pengeluaran manakala proses pengesahan kejuruteraan berpotensi menyebabkan kelewatan tambahan sehingga dua bulan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Channel News

