Site icon TechNave BM

Apple sahkan ia akan patuh pada desakan EU untuk gunakan USB-C dalam iPhone

Baru-baru ini, Kesatuan Eropah (EU) telah mengarahkan semua peranti elektronik untuk menggunakan port USB-C bagi tujuan pengecasan dan pemindahan data bermula 2024. Ini bukanlah satu masalah besar untuk kebanyakan syarikat teknologi namun untuk Apple, ini bermaksud mereka tidak boleh lagi gunakan port Lightning pada iPhone.

Kini, Apple telah mengesahkan bahawa mereka akan akur dengan keperluan oleh EU itu. Perkara ini disahkan oleh ahli eksekutif pemasaran Apple, Greg Joswiak, serta naib presiden kanan Apple, Craig Federighi, dalam temu ramah bersama Wall Street Journal.

Selama ini, Joswiak mengatakan Apple telah lama mengalami perselisihan faham dengan EU berkenaan pelaksanan pengecas yang standard untuk semua peranti elektronik. Sebelum ini, EU pernah mendesak Apple untuk gunakan port micro-USB dalam iPhone namun ia tidak pernah dilakukan oleh Apple.

Sungguh pun begitu, Apple tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada akur dengan keperluan daripada EU bagi menjual produk mereka di Eropah. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan bilakah port USB-C akan mula diperkenalkan dalam iPhone.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version