Laporan Counterpoint Research mengesahkan Apple kini mendominasi peranti aktif global apabila hampir satu daripada empat telefon pintar yang digunakan di seluruh dunia pada tahun 2025 adalah iPhone. Dengan pegangan pasaran sekitar 25 peratus, Apple mengatasi pesaing terdekatnya Samsung yang memegang 20 peratus pegangan.
Data terbaharu diperoleh menjadikan Apple dan Samsung jenama yang berjaya melepasi angka satu bilion peranti aktif secara global. Dominasi Apple dilihat semakin kukuh apabila syarikat itu menambah jumlah peranti baharu bersih yang lebih tinggi berbanding gabungan tujuh pengeluar utama lain sepanjang tahun lalu.
Selain Apple dan Samsung, enam lagi jenama iaitu Xiaomi, OPPO, vivo, Transsion, HUAWEI dan HONOR kini memiliki pengguna melebihi 200 juta unit dengan HONOR menjadi ahli terbaharu menyertai kelompok elit tersebut manakala Motorola dan realme dilaporkan semakin menghampiri angka berkenaan.
Trend pasaran semasa menunjukkan peranti aktif global meningkat dua peratus meskipun pengguna kini menyimpan telefon lebih lama dengan purata kitaran penggantian mencapai hampir empat tahun. Keupayaan Apple dan Samsung mengekalkan pengguna dalam ekosistem premium menunjukkan bahawa saiz pangkalan aktif lebih penting daripada angka penghantaran unit dalam menjamin kesetiaan pelanggan dan pertumbuhan hasil perkhidmatan jangka panjang.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Counterpoint

