Mahkamah Amerika Syarikat (AS) hari ini memutuskan bahawa Apple tidak lagi dibenarkan untuk mengambil komisyen daripada sebarang pembelian yang dilakukan di luar aplikasi. Ini bermaksud jika pengguna peranti Apple ingin membeli sesuatu perkhidmatan atau produk yang berkaitan dengan sebarang aplikasi yang ditawarkan dalam App Store, Apple tidak boleh mengambil komisyen daripada pembelian tersebut.
Selain itu, mahkamah AS mengarahkan Apple supaya membenarkan pembina aplikasi untuk menawarkan kebebasan kepada pengguna dalam memilih kaedah pembelian di luar aplikasi.
Perintah ini dikeluarkan susulan daripada kes Epic Games yang tidak bersetuju dengan monopoli Apple dalam platform App Store. Sebelum ini, Apple mengambil komisyen sebanyak 30% daripada sebarang pembelian dalam aplikasi yang ditawarkan dalam App Store.
Pada 2021, mahkamah AS mengarahkan Apple untuk membenarkan pengguna mencari kaedah pembayaran alternatif, namun Apple kemudian memulakan polisi yang memerlukan pembina aplikasi untuk bayar komisyen sebanyak 27% untuk setiap kaedah pembayaran alternatif.
Dengan keputusan terbaru ini, Apple tidak boleh lagi mengambil komisyen atau yuran daripada sebarang pembelian yang dilakukan di luar aplikasi. Di samping itu, Apple tidak boleh mengekang pembina aplikasi dalam menawarkan kaedah pembayaran di luar aplikasi.
Dalam pada itu, CEO Epic Games, Tim Sweeney, mengatakan jika Apple akur dengan keputusan mahkamah, mereka akan kembali menyediakan Fortnite dalam App Store dan tidak akan meneruskan lagi perbicaraan kes ini di mahkamah.
We will return Fortnite to the US iOS App Store next week.
— Tim Sweeney (@TimSweeneyEpic) April 30, 2025
Epic puts forth a peace proposal: If Apple extends the court's friction-free, Apple-tax-free framework worldwide, we'll return Fortnite to the App Store worldwide and drop current and future litigation on the topic. https://t.co/bIRTePm0Tv
Pada masa yang sama, Apple tidak bersetuju dengan keputusan terbaru oleh mahkamah AS ini dan akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.
Untuk makluman, keputusan mahkamah AS ini serupa dengan keputusan Suruhanjaya Eropah (EC) yang telah mendenda Apple sebanyak €500 juta kerana tidak menyediakan kebebasan kepada pengguna untuk pilih kaedah pembayaran di luar App Store.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: CNET

