Apple memulakan pelancaran produk 2026 dengan memperkenalkan iPhone 17e sebagai model paling mampu milik dalam siri iPhone 17 selain menyegarkan iPad Air dengan cip M4 untuk pasaran Malaysia. Kedua-duanya dibuka untuk tempahan pada 4 Mac 2026 dan mula dijual pada 11 Mac 2026.
iPhone 17e dijana cip A19 berasaskan teknologi 3nm serta memperkenalkan modem C1X baharu yang dikatakan menawarkan kira-kira dua kali ganda kelajuan dan kecekapan berbanding generasi terdahulu. Ia menggunakan paparan 6.1 inci Super Retina XDR OLED bersama sistem kamera 48MP Fusion yang menyokong zum Telefoto 2x berkualiti optikal, potret generasi baharu dengan pengecaman subjek dipertingkat serta rakaman video 4K Dolby Vision.
Peranti ini hadir dengan iOS 26 dan sokongan Apple Intelligence merangkumi terjemahan dipertingkat, visual intelligence dan pemperibadian lebih intuitif. Pada masa sama, ia menyokong MagSafe sepenuhnya dengan pengecasan tanpa wayar sehingga 15W, dilindungi Ceramic Shield 2 di bahagian hadapan serta penarafan IP68 untuk rintangan air dan habuk.
Fungsi satelit seperti Emergency SOS, Roadside Assistance, Messages dan Find My turut tersedia apabila tiada liputan rangkaian. Di Malaysia, iPhone 17e ditawarkan dengan storan asas 256GB pada harga RM2,999 dan varian 512GB pada RM3,999. Tiga pilihan warna disediakan iaitu hitam, putih dan merah jambu lembut. Tempahan tempatan bermula 4 Mac jam 10.15 malam menerusi laman rasmi Apple Malaysia.
Dalam pengumuman sama, iPad Air kini menggunakan cip M4 yang meningkatkan prestasi multitugas, suntingan video dan kerja grafik selain mengukuhkan sokongan Apple Intelligence pada tablet. Model selular turut dilengkapi modem C1X manakala cip N1 membolehkan sokongan Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 untuk sambungan lebih pantas dan stabil.
Harga iPad Air kekal seperti sebelum ini iaitu RM2,799 untuk model 11 inci dan RM3,699 bagi versi 13 inci. Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui laman rasmi Apple. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

