Apple hari ini mengumumkan kemas kini barisan MacBook Air dan MacBook Pro dengan cip generasi terbaharu M5 termasuk M5 Pro dan M5 Max. Pada masa sama, Apple turut memperkenalkan dua model baharu dalam siri Studio Display. Bagi MacBook Air 2026, ia kini dikuasakan cip Apple M5 yang sebelum ini diperkenalkan pada MacBook Pro 14 inci dan iPad Pro tahun lalu.
Cip ini mengekalkan konfigurasi 10 teras CPU serta pilihan GPU 8 atau 10 teras seperti M4, namun semua teras kini lebih pantas. GPU turut dilengkapi pemecut neural pada setiap teras. Storan asas digandakan kepada 512GB berbanding 256GB sebelum ini dengan pilihan maksimum sehingga 4TB. RAM asas kekal 16GB dan boleh dinaik taraf sehingga 32GB.
MacBook Air turut menerima naik taraf sambungan dengan sokongan Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 selain pengecas baharu 40W Dynamic Power Adapter with 60W Max yang menggantikan model 30W/35W sebelum ini. Untuk MacBook Pro, model 14 inci boleh dikonfigurasi dengan cip M5, M5 Pro atau M5 Max manakala model 16 inci hanya ditawarkan dengan M5 Pro dan M5 Max.
Cip M5 Pro dan M5 Max dibina menggunakan seni bina Fusion Architecture yang menggabungkan dua cip menjadi satu cipset berteras tinggi. Ia menawarkan sehingga enam teras berprestasi tinggi dan sehingga 12 teras prestasi baharu dengan pilihan GPU antara 16, 20, 32 dan 40 teras. M5 Pro pada MacBook Pro hadir dengan CPU 15 teras dan GPU 18 teras untuk model 14 inci serta CPU 18 teras dan GPU 20 teras untuk model 14 dan 16 inci.
M5 Max pula hadir dalam pilihan CPU 18 teras bersama GPU 32 teras atau 40 teras. Memori bermula pada 24GB untuk M5 Pro dan mencecah sehingga 128GB untuk M5 Max manakala storan kini bermula 1TB sehingga 8TB. Seperti MacBook Air, model Pro turut menerima Wi-Fi dan Bluetooth lebih pantas.
Dalam kategori paparan, Apple memperkenalkan Studio Display yang dikemas kini dengan kamera web 12MP baharu, susunan tiga mikrofon, sistem enam pembesar suara dengan audio spatial serta sokongan Thunderbolt 5. Spesifikasi lain termasuk panel IPS 27 inci 5K 60Hz kekal sama. Model baharu Studio Display XDR pula tampil dengan panel IPS 27 inci 5K yang kini menyokong kadar segar semula 120Hz serta sistem lampu latar mini-LED dengan 2304 zon peredupan setempat.
Tahap kecerahan dipertingkat kepada 1000 nits untuk SDR dan 2000 nits bagi HDR, mengatasi 600 nits pada Studio Display standard. Ia turut menyokong lebih banyak mod gamut warna rujukan termasuk Adobe RGB. Model ini hadir dengan kaki boleh laras tinggi dan condong, berbeza dengan Studio Display biasa yang hanya menyokong pelarasan condong.
Di Malaysia, kedua-dua monitor boleh ditempah bermula 9 Mac dengan harga Studio Display bermula daripada RM6,499 (RM6,089 untuk pendidikan) dan Apple Studio Display XDR bermula daripada RM13,499 (RM13,089 untuk pendidikan). MacBook Air dengan M5 akan tersedia dalam model 13 inci dan 15 inci yang masing-masing bermula daripada RM4,699 dan RM5,499.
Terdapat juga harga yang lebih rendah bermula dari RM4,299 dan RM5,099 untuk pakej pendidikan. Tempahan akan bermula tidak lama lagi dengan ketersediaan bermula 11 Mac 2026. Untuk MacBook Pro dengan M5 Pro/Max pula, harganya bermula RM8,999 (RM8,399 untuk pendidikan) untuk 14 inci manakala 16 inci bermula RM10,999 (RM10,199 untuk pendidikan).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

