Site icon TechNave BM

Apple Watch di Malaysia bakal sokong aplikasi ECG dengan kemas kini watchOS 7.5!

Bercakap mengenai jam tangan pintar, siri Apple Watch adalah antara siri jam tangan pintar yang popular di serata dunia. Namun begitu, barisan Apple Watch yang dijual di Malaysia tidak mendapat kesemua ciri yang ditawarkan. Antaranya adalah ciri ECG. Terbaru, sumber menunjukkan kemas kini terbaru untuk Apple Watch iaitu watchOS 7.5 yang pastinya akan memuaskan hati pengguna Apple Watch di Malaysia.

Berdasarkan sumber, kemas kini watchOS 7.5 akan membawakan sokongan aplikasi ECG kepada dua negara baru iaitu Peru dan Malaysia. Tambahan dari itu, pasaran Peru dan Malaysia juga bakal mendapat ciri baru yang mampu mengesan ketidakstabilan kadar dengupan jantung. Kepada yang tidak tahu, ECG ini adalah singkatan kepada electrocardiogram, iaitu sebuah ujian untuk mengukur aktiviti elektrik degupan jantung.

Walau bagaimanapun, kemas kini watchOS 7.5 ini masih lagi di dalam mod Beta dan belum lagi ditawarkan kepada orang awam. Selain ECG, terdapat juga beberapa penawaran baru seperti langganan Podcast, pengesanan Apple Card Family Sharing (Apple Card belum disokong di Malaysia) dan beberapa penambaikan kecil.

Kami menjangkakan kemas kini ini akan ditawarkan sekitar bulan Jun, selari dengan pelancaran iOS 14.6 dan beberapa produk Apple yang lain.

Perlu diingatkan, hanya jam tangan Apple Watch Series 4 dan ke atas sahaja yang dapat menyokong ciri ECG ini.

Adakah anda salah satu dari pengguna Apple Watch? Kongsikan pendapat anda mengenai hal ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version