Site icon TechNave BM

Apple Watch Ultra 3 akan dilengkapi sokongan sambungan satelit, ciri kesihatan baharu

Apple Watch Ultra 3 dijangka memperkenalkan ciri pemesejan satelit menurut laporan terbaru oleh Mark Gurman daripada Bloomberg. Dengan sokongan ini, pengguna boleh menghantar mesej walaupun tanpa sambungan selular atau Wi-Fi menggunakan sambungan satelit sahaja.

Selain itu, model ini mungkin juga dilengkapi ciri pemantauan tekanan darah tetapi pelancarannya telah beberapa kali ditangguhkan sebelum ini. Pada asalnya, ciri ini dijadualkan dilancarkan pada tahun 2023. Walaupun ia tidak memberikan bacaan tekanan darah yang tepat, ia mampu memberi amaran kepada pengguna apabila berada dalam keadaan hipertensi.

Apple juga dilaporkan sedang membangunkan ciri pemantauan glukosa darah tanpa invasif namun ciri ini belum dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Sokongan Komunikasi Satelit pertama kali diperkenalkan melalui iPhone 14 pada tahun 2022 dan diperluaskan untuk membantu komunikasi kecemasan seperti bantuan tepi jalan pada tahun berikutnya.

Apple akan menawarkan ciri ini untuk Apple Watch 3 bagi menghantar teks melalui iMessage tanpa memerlukan iPhone. Langkah ini dipercayai merupakan usaha Apple untuk merangsang semula jualan jam tangan pintar mereka yang mengalami penurunan dalam dua tahun terakhir.

Selain itu, beberapa model Apple Watch pada tahun depan dijangka menggunakan modem MediaTek menggantikan Intel. Modem baharu ini akan menyokong teknologi 5G RedCap iaitu perkhidmatan 5G yang direka khusus untuk peranti boleh pakai yang tidak memerlukan sambungan data berkelajuan tinggi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bloomberg

Exit mobile version